GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 434 individu masih menunggu keputusan saringan membabitkan Kluster Benteng LD di Lahad Datu dan Tawau, Sabah, sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 776 individu disaring dalam kluster ini dengan 16 kes positif Covid-19 termasuk dua kes baharu yang direkodkan hari ini.

"Di Lahad Datu, seramai 420 individu disaring dengan tujuh kes dikesan positif Covid-19, manakala 259 individu negatif dan 154 individu masih menunggu keputusan bagi kluster ini.

"Di Tawau pula, seramai 356 individu disaring dengan sembilan kes dikesan positif Covid-19, manakala 67 individu negatif dan 280 individu masih menunggu keputusan.

"Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sudah dijalankan membabitkan kluster ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua kes baharu dalam kluster ini iaitu kes ke-9395 dan kes ke-9396 dengan seorang daripadanya adalah kontak rapat kepada kes ke-9351.

"Individu terbabit bergejala pada 1 September lalu dan dimasukkan ke Hospital Tawau keesokannya. Beliau dikesan positif dan dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.

"Bagi kes ke-9396, beliau adalah anak saudara kepada kes ke-9395. Kes dikesan positif pada 5 September lalu dan dimasukkan ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Noor Hisham menasihatkan semua anggota barisan hadapan sama ada dalam sektor kesihatan atau keselamatan supaya berwaspada terhadap apa juga cabaran dalam mencegah penularan penyakit berjangkit tanpa mengira individu, tempat dan masa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 5:48 PM