ANTARA individu yang diperiksa di dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA individu yang diperiksa di dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 16 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, di sini, ditahan dalam serbuan, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected] berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan dan serbuan terhadap premis yang menjalankan aktiviti terlarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pegerakan Pemulihan (PKPP) di Kuchai Lama dan Bandar Baru Sri Petaling.

"Dalam serbuan jam 2 pagi itu, kami menahan 16 wanita warga Vietnam dipercayai bekerja sebagai GRO, seorang lelaki warga Myanmar dan 54 pelanggan membabitkan 44 lelaki dan 29 wanita selain tiga pekerja premis.

"Semua pengunjung serta pekerja premis terbabit dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan

Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, kertas siasatan berhubung tangkapan itu dibuka mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan pemilik premis menggaji warga asing, Seksyen 39(B) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992.

"Semua 17 warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun itu direman selama 14 hari bermula semalam hingga 19 September ini untuk siasatan lanjut sementara menunggu laporan dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya.

Dalam serbuan berasingan 12.30 tengah malam, pihaknya membuat serbuan di sebuah premis di Jalan Radin Bagus 1, Bandar Baru Sri Petaling, dengan mengenakan tindakan kompaun RM1,000 terhadap 18 pengunjung termasuk lima wanita kerana ingkar arahan PKPP.

"Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Beliau menegaskan kepada pemilik pub atau bar untuk tidak menggaji pekerja asing yang tiada dokumen atau permit kerja sah.

Katanya, tindakan tegas juga akan diambil kepada pemilik premis yang tiada lesen perniagaan yang sah.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya mengikuti SOP PKPP kerana tindakan kompaun akan dikenakan jika melanggar arahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti jenayah boleh menghubungi pihak Polis Brickfields di talian hotline 03 22979222 untuk tindakan lanjut.

"Kerjasama daripada semua pihak amat dihargai bagi menyekat penularan virus Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 9:45 AM