BERNAMA

Butterworth: Dua pusat hiburan diarah tutup seminggu, manakala 26 pengunjung dikompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi di sekitar Butterworth, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam operasi bersepadu polis dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu, lima premis hiburan diperiksa.

"Dalam operasi empat jam bermula 8 malam itu, KKM mengeluarkan dua notis penutupan ke atas dua premis pusat hiburan selama tujuh hari kerana tiada penjarakan fizikal, pekerja tidak memakai pelitup muka dan pelanggan gagal daftar masuk ke premis.

"Selain itu, KKM turut mengeluarkan notis amaran kepada pemilik sebuah pusat hiburan kerana pekerja gagal daftar masuk ke premis, manakala polis mengeluarkan kompaun RM1,000 setiap seorang kepada 26 pengunjung yang tidak mematuhi SOP ditetapkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, MBSP turut mengeluarkan lima kompaun kerana kesalahan tidak patuh syarat pelesenan, tidak melakukan suntikan vaksin pekerja dan tiada kebenaran membuka pusat hiburan.

Selain itu, pihaknya menasihatkan pengusaha dan pengunjung pusat hiburan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 9:59 AM