Nor Fazlina Abdul Rahim


Bachok: Kerajaan bercadang mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 0.02 peratus kepada pembeli yang melakukan pembelian dalam talian termasuk portal e-dagang, Lazada dan Shopee.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, caj mungkin dikenakan serendah 20 sen bagi pembelian RM1,000 ke bawah.

Bagaimanapun katanya, pihaknya belum menetapkan minimum pembelian yang membolehkan caj perkhidmatan itu dikenakan.

"Perkara ini masih dalam perancangan peringkat kementerian sebelum dibentangkan dan pendekatan ini adalah satu langkah untuk mencari sumber lain yang tidak membebankan rakyat.

"Pada masa sama, caj perkhidmatan yang dikutip itu akan digunakan untuk penambahbaikan sistem keselamatan komunikasi untuk mengelak scammer dan pencerobohan siber.

"Ini bukan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana sekarang ini, banyak pembelian dalam talian tidak membayar cukai sekali gus menyebabkan kerugian dan ketirisan hasil kerajaan berlaku.

"Untuk mengenakan cukai ia rumit dan perlu diluluskan oleh Parlimen menyebabkan kita perlu memperkenalkan caj perkhidmatan ini," katanya.

DATUK Zahidi Zainul Abidin (kiri) meletakkan jalur gemilang diatas bot nelayan selepas merasmikan program Merdeka@Komuniti Peringkat Negeri Kelantan di Jeti Pengkalan Petah, Bachok. FOTO NIk Abdullah Nik Omar
DATUK Zahidi Zainul Abidin (kiri) meletakkan jalur gemilang diatas bot nelayan selepas merasmikan program [email protected] Peringkat Negeri Kelantan di Jeti Pengkalan Petah, Bachok. FOTO NIk Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Komuniti @ Merdeka di Pengkalan Petah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Zahidi Zainul berkata, sejak kebelakangan ini, banyak berlaku serangan siber di seluruh dunia akibat ketirisan data seperti yang berlaku pada Western Union, baru-baru ini yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

"Oleh sebab itu, sistem keselamatan siber di negara ini perlu dipertingkatkan dan diperkemaskan bagi mengelak ia berlaku.

"Justeru, kita perlu sama-sama membantu untuk menampung kos penambahbaikan komunikasi kerana ia membabitkan perbelanjaan besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 2:00 PM