Peserta-peserta yang hadir pada  pra pelancaran program  pakej 'Sightseeing Tour' destinasi pelancongan di sekitar Negeri Kelantan di bengkel penghasilan batik, Pantai Mek Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Peserta-peserta yang hadir pada pra pelancaran program pakej 'Sightseeing Tour' destinasi pelancongan di sekitar Negeri Kelantan di bengkel penghasilan batik, Pantai Mek Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebanyak 17 destinasi pelancongan di sekitar Kelantan bakal dibanjiri pengunjung dalam usaha mempergiatkan industri pelancongan domestik.

Destinasi pelancongan di Kota Bharu, Tumpat dan Bachok itu akan didedahkan pelbagai aktiviti antaranya menyepat daun rokok daripada pucuk nipah, melukis batik dan menyaksikan aksi beruk memetik kelapa.

Semua lokasi dan aktiviti itu disediakan dalam pakej 'Sightseeing Tour' anjuran Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan dengan kerjasama Tourism Malaysia Wilayah Timur, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), syarikat penerbangan Firefly dan Jasa Teratai Holiday serta Asia Travel & Tours.

Antara destinasi disenaraikan dan disifatkan mampu menjadi tarikan pengunjung terutama luar Kelantan ialah galeri pembuatan wau, bengkel penghasilan batik, Pantai Mek Mas, bengkel keropok, zon bebas cukai Pengkalan Kubor, Masjid Arrahman, Pasar Terapung Pengkalan Datu dan Pantai Senok.

Wakil Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Zon Pantai Timur, Mimi Rodiah Abd Rahman berkata, pakej 'Sightseeing Tour' itu bertujuan memupuk pelancongan domestik untuk melancong melalui pakej bersama pemandu pelancong.

"Melalui pakej ini, pelancongan akan lebih berkesan berikutan setiap lokasi dilawati mempunyai nilai penceritaan sangat menarik dan tidak akan diperoleh jika melancong tanpa pemandu pelancong.

"Sebanyak tiga laluan berbeza disediakan untuk jelajah dengan menaiki bas disediakan iaitu berkonsepkan Panorama, Jalan-jalan dan 'Saturday Fun'," katanya ketika ditemui semasa pra-pelancaran program itu di beberapa destinasi sekitar Kota Bharu, hari ini.

Mimi Rodiah berkata, tujuh pemandu pelancong berlesen ditugaskan secara bergilir-gilir selama tujuh hari untuk membawa pelancong membabitkan tiga laluan disediakan itu.

Beliau berkata, selain mempromosikan Kelantan kepada masyarakat luar, pakej bermula pada 15 September itu akan membantu pemandu pelancong meraih pendapatan harian dengan bertugas secara bergilir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 5:01 PM