Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Jangan bimbang kita tidak akan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) macam dulu, setakat ini kita masih mampu tutup (kawal) lokaliti-lokaliti tertentu," kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata demikian bagi menjawab khabar angin kononnya PKP akan dilaksanakan semula susulan kes Covid-19 melonjak tiga digit iaitu 100 kes baharu, kelmarin.

Katanya, pendekatan diambil kerajaan adalah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di kawasan sasaran iaitu lokasi terkesan Covid-19.

"Kita hanya kawal pergerakan rentas kawasan melalui PKPD secara pentadbiran di lokasi sasaran.

"Jadi tidak timbul juga persoalan mengenai larangan rentas negeri (ketika ini)," katanya dalam sidang media hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pemulihan (PKP) hari ke-177 dan hari ke-93 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Ismail Sabri berkata, langkah PKPD secara pentadbiran di Kota Setar dan Tawau selaras dengan mekanisme sama dilakukan di kluster terdahulu termasuk Kluster Sivagangga.

"Jika ada kes mendadak, kita tidak tutup negeri, tidak seperti dulu.

"Sebagai contoh apabila berlaku di Kluster Sivagangga yang menyaksikan berlaku penularan cepat, kita tak tutup seluruh negeri dan daerah, sebaliknya hanya (PKPD secara pentadbiran) di tiga kampung di Kedah dan dua kampung di Perlis.

"Kali ini, kaedah kita ialah tutup kawasan terbabit sahaja seperti di Tawau, kita tutup penjara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 5:36 PM