ANTARA ahli PBHT menyertai gotong-royong mengutip sampah di kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat. FOTO Baharom Bakar
ANTARA ahli PBHT menyertai gotong-royong mengutip sampah di kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Puntung rokok, bekas minuman dan pembalut coklat sertasisa makanan masih mencemari kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat atau Drawbridge.

Keadaan itu terbukti apabila lebih 750 kilogram sampah terutamanya puntung rokok, pembalut coklat, bekas minuman termasuk botol dan tin serta sisa makanan dikutip dalam tempoh dua jam pada program gotong-royong merdeka anjuran Persatuan Belia Hainan Terengganu (PBHT), hari ini.

Pengerusi PBHT, Heny Eyong menjelaskan, kesedaran sivik masyarakat termasuk pengunjung ke kawasan itu masih kurang diamalkan apabila ada segelintir mereka dengan sengaja mengotorkan kawasan di sekitar menara ikonik Jambatan Angkat.

Jelasnya, walaupun Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah menyediakan lebih 20 tong sampah di sekitar kawasan itu, tetapi pengunjung membuang putung rokok, meninggalkan bekas minuman dan pembalut coklat di merata kawasan.

"Masyarakat setempat dan pelancong tempatan perlu mengamalkan kesedaran sivik untuk bersama membantu kerajaan menjaga kawasan tarikan utama pelancong terutamanya di sekitar kawasan Jambatan Angkat yang menjadi tumpuan utama pada setiap petang dan malam termasuk pada hari cuti kelepasan am.

"Selepas dua jam program yang bermula 8 pagi itu diadakan, amat mengejutkan kami termasuk anak ahli yang berusia antara tujuh dan 12 tahun menemui putung rokok dan pembalut coklat ditinggalkan di celah rumput di kawasan yang menjadi tumpuan utama pengunjung untuk merakamkan gambar keindahan menara ikonik berkenaan," katanya ketika ditemui selepas bersama lebih 50 ahli dan jawatakuasanya mengadakan gotong royong merdeka di beberapa lokasi sekitar kawasan Jambatan Angkat atau Drawbridge, hari ini.

Turut menyertai gotong royong merdeka itu adalah Penasihat PBHT, Datuk Tok Teng Sai.

Eyong menambah, berdasarkan sambutan diberikan ahli, PBHT bersedia menyediakan khidmat ahlinya untuk menyertai pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong membersih kawasan termasuk rumah ibadat dianjurkan kerajaan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Dengan keahlian melebihi 1,500 orang di seluruh negeri, kami bersedia membantu menghantar ahli untuk bersama menyertai program gotong royong yang dianjurkan kerajaan, NGO dan kepimpinan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 12:05 PM