DAUN ketum seberat 70kg yang dirampas PGA8 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jedok, Tanah Merah. FOTO Ihsan PGA8
DAUN ketum seberat 70kg yang dirampas PGA8 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jedok, Tanah Merah. FOTO Ihsan PGA8
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas barangan seludup bernilai lebih RM35 juta sepanjang penugasan Ops Benteng Covid-19 bermula 16 Ogos lalu sehingga hari ini.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, jumlah itu membabitkan 75 kes dengan tangkapan 53 lelaki dan tiga perempuan selain rampasan 51 kenderaan pelbagai jenis.

"Ia pencapaian yang membanggakan, ia hasil usaha keras semua anggota termasuk berjaya menumpaskan banyak aktiviti penyeludupan walaupun dalam tempoh kurang sebulan.

"Kesemua rampasan ini membabitkan pelbagai kes jenayah sempadan seperti penyeludupan daun ketum, pil kuda, ayam sejuk beku dan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.

Menurut beliau, banyak cabaran dihadapi pihaknya sepanjang Ops Benteng seperti berhadapan dengan penyeludup yang enggan memberi kerjasama selain menerima ugutan.

Katanya, kejayaan ini juga hasil kerjasama agensi penguatkuasaan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Pada perkembangan lain, Muhammad berkongsi kejayaan PGA8 merampas daun ketum seberat 70 kilogram (kg), selaras senapang kayu buatan sendiri selain peluru hidup 0.22 milimeter dengan nilai keseluruhan RM2,610 di Kampung Jedok, Tanah Merah kelmarin.

"Pada jam 6.30 petang, anggota yang sedang membuat rondaan terlihat seorang lelaki di hadapan sebuah rumah tidak bernombor dalam keadaan mencurigakan."Lelaki terbabit kemudiannya melarikan diri ke kawasan semak di belakang rumah. Anggota kami mengejar namun gagal menahannya," katanya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan dalam rumah itu, pihaknya menemui senapang dan daun ketum terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

SENAPANG kayu yang dirampas. FOTO Ihsan PGA8
SENAPANG kayu yang dirampas. FOTO Ihsan PGA8

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 4:18 PM