TUJUH individu cedera dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di laluan atas jambatan Jalan Lahat. FOTO IHSAN PEMBACA
TUJUH individu cedera dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di laluan atas jambatan Jalan Lahat. FOTO IHSAN PEMBACA
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Gara-gara masalah brek, tujuh individu cedera selepas sebuah lori membawa muatan batu hilang kawalan merempuh enam kenderaan di laluan atas jambatan Jalan Lahat, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada 9 pagi apabila lori terbabit dari arah Lahat menuju ke Station 18, di sini, mengalami kegagalan brek ketika menuruni jambatan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.33 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

"Kemalangan berlaku apabila sebuah lori 10 tan melanggar sebuah lori lain, dua kereta Toyota Vios dan masing-masing sebuah Proton Wira, Toyota Alphard dan Perodua Axia.

"Dua lelaki yang menaiki lori (yang dirempuh) cedera ringan dan lima mangsa lagi menaiki Toyota Vios turut mengalami cedera ringan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, anggota bomba bertindak memberi rawatan awal kepada semua mangsa sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan untuk rawatan lanjut.

"Laluan terpaksa ditutup selama lima jam berikutan kerja-kerja pembersihan jalan menggunakan habuk kayu akibat tumpahan diesel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 5:21 PM