HUJAN tanpa henti sejak petang semalam mengakibatkan tiga PPS dibuka susulan banjir kilat yang melanda tiga kampung di daerah ini. FOTO ihsan JBPM
HUJAN tanpa henti sejak petang semalam mengakibatkan tiga PPS dibuka susulan banjir kilat yang melanda tiga kampung di daerah ini. FOTO ihsan JBPM
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini, tengah malam tadi, bagi menempatkan mangsa banjir kilat susulan hujan tanpa henti sejak petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa membabitkan 104 individu dari 20 keluarga dari tiga kampung iaitu Kampung Talang Hulu, Kampung Talang Hilir, dan Kampung Lembah di Padang Rengas.

Katanya, setakat 7.30 pagi tadi, PPS yang dibuka adalah di asrama kediaman Kolej RISDA, Padang Rengas yang menempatkan tujuh keluarga.

Beliau berkata, PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Stor juga menempatkan tujuh keluarga penduduk Kampung Talang Hulu.

"Selain itu PPS DOR Kampung Talang Masjid yang membabitkan enam keluarga dari kampung Talang Hilir," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, air kelihatan mula surut selain hujan sudah berhenti, namun pemantauan masih dijalankan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, banjir turut melanda kawasan lain di daerah itu khususnya di kawasan Manong namun tiada PPS dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 9:38 AM