Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengesahkan lebih 30 kerbau milik Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' diserang penyakit Haemorragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah.

Pengarahnya, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan keadaan kerbau, selain rekod kematian kerbau di tempat lain.

"Penyakit ini bermula sejak Ogos lalu tetapi sudah pulih sekejap namun bermula semula pada 12 September.

"Saya sudah mengingatkan penternak supaya sentiasa menyuntik vaksin pencegahan HS ke atas ternakan mereka.

"Malangnya tidak semua penternak yang akur dengan arahan dan memberi kerjasama pada akhirnya mereka mengalami kerugian," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mohd Termizi berkata, kes hawar berdarah mula dikesan di Kampung Tumang Jerong, Marang.

"Kes pertama HS bermula pada 9 Ogos membabitkan kematian 22 kerbau dan 15 lembu dan kematian terakhir pada 28 Ogos lalu.

"JPV memulakan pemvaksinan HS pada 30 Ogos ke atas 675 lembu dan 58 kerbau milik 106 penternak di 12 kampung.

"Pada 12 September berlaku kes HS baru di Kampung Banggol Peradong membabitkan kematian tujuh kerbau milik seorang penternak," katanya.

MUHAMMAD Khamis dari Kampung Banggol Katong melihat kerbaunya yang mati. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MUHAMMAD Khamis dari Kampung Banggol Katong melihat kerbaunya yang mati. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Beliau berharap semua penternak bersabar dan mematuhi arahan yang dikeluarkan JPV.

"Dalam keadaan sekarang hadkan pergerakan ternakan sama ada lembu atau kerbau ke kawasan lain.

"Kedatangan lori peraih ternakan daripada datang ke kandang ternak juga perlu dihadkan.

"Segala bentuk perjalanan dan pemindahan haiwan ternakan perlu mendapat permit perjalanan daripada JPV terlebih dahulu bagi mengelakkan penularan wabak ke tempat lain," katanya.

Berita berkaitan

30 kerbau 'Mowgli' mati mengejut

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 2:05 PM