Che Hassan Che Johan (kiri) dan laporan eksklusif Harian Metro (kanan). FOTO Arkib NSTP
Che Hassan Che Johan (kiri) dan laporan eksklusif Harian Metro (kanan). FOTO Arkib NSTP
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) menyifatkan pembersihan daripada segala unsur negatif di Langkawi perlu dilakukan segera bagi menjaga nama baik pulau pelancongan itu.

Presidennya, Che Hassan Che Johan berkata, Langkawi bukan saja ibarat permata Kedah tetapi terkenal dengan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara sejak dahulu lagi sebagai lokasi pelancongan popular di Malaysia.

"Isu dadah dan judi hanya akan menjadikan imej pulau itu buruk di mata pelancong. Jika tiada tindakan sewajarnya diambil, ia akan menjejaskan sektor pelancongan dan memberi gambaran buruk khususnya pelancong daripada luar.

"Kita perlu jaga status Langkawi ini. Jika keadaan itu berterusan, ia dikhuatiri menggugat ekonomi setempat yang rata-rata membabitkan sektor pelancongan," katanya.

Beliau mengulas laporan bersiri Skuad Khas Harian Metro berkaitan Langkawi bermula dengan isu dadah disiarkan di muka depan akhbar ini pada 3 September lalu akhbar ini yang membongkar kegiatan penagihan dan penjualan dadah membabitkan tokan kecil didakwa dikawal anggota polis dikenali sebagai Mr N.

Isu itu mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengakui beliau menyedari kegiatan berkenaan namun memberitahu pihaknya sudah mengambil beberapa langkah drastik untuk mengatasinya.

Pendedahan diteruskan apabila akhbar ini menyiarkan kes meragukan membabitkan kebakaran kediaman Pablo Escobar Langkawi atau Mat Nahar yang maut dan juga dikatakan antara tokan yang dilindungi polis.

Turut maut dalam tragedi kebakaran itu adalah isteri dan anak lelaki Pablo Escobar Langkawi berkenaan.

Siri ketiga disiarkan Harian Metro memaparkan antara modus operandi sindiket adalah dadah diseludup dari negara jiran terutama sebab banyak pulau tidak berpenghuni di perairan berkenaan.

Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan penahanan dua anggota Balai Polis Kuah, Langkawi kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di pulau peranginan itu.

Selain itu, dua lelaki tempatan dipercayai tokan dadah turut ditahan dengan semua mereka itu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan Harian Metro turut melaporkan dalam siaran muka depan bertajuk Rangkaian Dadah Langkawi Digempur.

Hari ini, pendedahan ekslusif Harian Metro melaporkan kegiatan menjual nombor ekor haram di Langkawi dengan dianggarkan lebih 30 pelbagai premis menjalankan kegiatan itu yang dikatakan didalangi beberapa 'tauke besar' dari tanah besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 8:49 AM