Laporan eksklusif HM (kiri) dan Azman Kang (kanan). FOTO Arkib NSTP
Laporan eksklusif HM (kiri) dan Azman Kang (kanan). FOTO Arkib NSTP
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Kerajaan negeri Kedah digesa mengadakan operasi banteras aktiviti haram di pulau Langkawi bagi membanteras gejala dadah dan perjudian secara menyeluruh.

Operasi bersepadu berkenaan dijangka dapat membersihkan pulau pelancongan itu daripada sebarang anasir haram yang boleh memberikan persepsi buruk pelancong tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia Azman Kang Abdullah berkata, inisiatif itu, yang pernah dihidupkan di ibu negara terbukti berkesan dalam membanteras aktiviti tidak sihat.

Katanya, melalui kerjasama bersepadu antara pelbagai agensi, kegiatan tidak sihat itu dapat dihentikan dan Langkawi dapat dipulihkan daripada menjadi sarang aktiviti haram.

"Kita tahu, dadah dan judi adalah dua kegiatan tidak bermoral yang memberi kesan sangat besar kepada kerosakan anak bangsa.

"Apatah lagi jika berlaku di pulau seperti Langkawi yang cukup dikenali di serata dunia kerana tarikan pelancongan serta penganjuran beberapa acara bertaraf antarabangsa, sudah tentu ia memberi gambaran tidak baik," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, pembersihan itu tidak akan berjaya jika ada satu dua pihak saja yang berperanan, sebaliknya ia memerlukan penggemblengan usaha agar semua elemen dapat digerakkan.

Memberikan contoh Op BAH oleh Kementerian Wilayah Persekutuan satu masa lalu, ia boleh dijadikan contoh bagaimana operasi besar-besaran setiap minggu melumpuhkan kegiatan terbabit.

"Kerajaan Kedah juga boleh fikirkan sesuatu dengan dibantu kerajaan pusat," katanya.

Beliau mengulas laporan bersiri Skuad Khas Harian Metro berkaitan Langkawi bermula dengan isu dadah disiarkan di muka depan akhbar ini pada 3 September lalu akhbar ini yang membongkar kegiatan penagihan dan penjualan dadah membabitkan tokan kecil didakwa dikawal anggota polis dikenali sebagai Mr N.

Isu itu mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengakui beliau menyedari kegiatan berkenaan namun memberitahu pihaknya sudah mengambil beberapa langkah drastik untuk mengatasinya.

Pendedahan diteruskan apabila akhbar ini menyiarkan kes meragukan membabitkan kebakaran kediaman Pablo Escobar Langkawi atau Mat Nahar yang maut dan juga dikatakan antara tokan yang dilindungi polis.

Turut maut dalam tragedi kebakaran itu adalah isteri dan anak lelaki Pablo Escobar Langkawi berkenaan.

Siri ketiga disiarkan Harian Metro memaparkan antara modus operandi sindiket adalah dadah diseludup dari negara jiran terutama sebab banyak pulau tidak berpenghuni di perairan berkenaan.

Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan penahanan dua anggota Balai Polis Kuah, Langkawi kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di pulau peranginan itu.

Selain itu, dua lelaki tempatan dipercayai tokan dadah turut ditahan dengan semua mereka itu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan Harian Metro turut melaporkan dalam siaran muka depan bertajuk Rangkaian Dadah Langkawi Digempur.

Hari ini, pendedahan ekslusif Harian Metro melaporkan kegiatan menjual nombor ekor haram di Langkawi dengan dianggarkan lebih 30 pelbagai premis menjalankan kegiatan itu yang dikatakan didalangi beberapa 'tauke besar' dari tanah besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 11:49 AM