Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Tiada keperluan untuk melakukan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Lahad Datu dan Tawau, Sabah berikutan keadaan masih terkawal.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini tidak membuat sebarang keputusan untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran mengenai cadangan ramai pihak yang mahu langkah itu dilakukan di dua daerah itu.

"Saya ingin memaklumkan terdapat lebih 511,000 penduduk di Tawau dan lebih 266,000 di Lahad Datu.

"Jika dilaksanakan PKPD jumlah ini agak besar untuk mengawal pergerakan dan aktiviti harian mereka, kita hanya akan melakukan PKPD secara pentadbiran berdasarkan lokaliti dan kenal pasti kawasan yang berlaku peningkatan kes mendadak," katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memberikan taklimat situasi semasa di dua daerah itu dalam mesyuarat khas hari ini dan menegaskan keadaan terkawal.

TIADA keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Lahad Datu dan Tawau. FOTO Arkib NSTP
TIADA keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Lahad Datu dan Tawau. FOTO Arkib NSTP

"KKM memaklumkan seramai 3,981 individu sudah disaring di Tawau manakala 1,421 di Lahad Datu.

"Daripada jumlah itu, 331 kes positif dilaporkan di Tawau manakala 89 lagi di Lahad Datu, ia membabitkan 305 banduan di Penjara Tawau manakala 86 kes Orang Kena Tahan (OKT) di beberapa lokap balai polis daerah itu," katanya.

Katanya, KKM akan membuat saringan secara bersasar membabitkan 25,000 individu di Tawau manakala 13,000 saringan di Lahad Datu .

"KKM juga mengenal pasti lokasi terbabit dengan Kluster Benteng LD dan Kluster Laut membabitkan Mukim Sri Tanjung (tujuh lokasi), Mukim Wallace Bay (satu lokas) dan Mukim Merotai (enam lokasi).

"Selepas semua saringan dilakukan, KKM akan buat penilaian sama ada kawasan terbabit perlu dilakukan PKPD secara pentadbiran atau tidak dan akan mengumumkannya kemudian," katanya.

Katanya lagi, mesyuarat khas dan KKM juga mengenal pasti pusat kuarantin khas yang akan digunakan sama seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang.

"Satu blok di Penjara Tawau dan satu dewan masyarakat di Lahad Datu dikenal pasti sebagai pusat kuarantin berisiko rendah.

"Kita akan segerakan pusat kuarantin khas ini dalam waktu terdekat, ia sedang dalam tindakan," katanya.

Menurutnya, buat sementara waktu orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan tempat awam yang sesak dan mengamalkan kawalan kendiri seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 3:37 PM