Saravanan (tiga dari kiri) dalam Program Inisiatif PENJANA HRDF Peringkat Negeri Sabah bertempat di The Magellan Sutera. FOTO RAFIQAH DAHALI
Saravanan (tiga dari kiri) dalam Program Inisiatif PENJANA HRDF Peringkat Negeri Sabah bertempat di The Magellan Sutera. FOTO RAFIQAH DAHALI
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: "Kami tidak membawa sebarang sepanduk parti mahupun ucapan politik melainkan ini hanyalah agenda kementerian (Kementerian Sumber Manusia)," kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Saravanan memberi reaksi itu bagi menafikan Program Inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) Peringkat Negeri Sabah diadakan di sini, hari ini, berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Program ini sudah lama dilaksanakan sebelum landskap politik di Sabah berubah, mahupun Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan," kata Saravanan yang ditemui media selepas program itu.

Terdahulu, ketika berucap pada program itu, Saravanan menjelaskan, lebih 1,600 rakyat Sabah memperoleh peluang latihan untuk menjana pendapatan menerusi inisiatif Penjana HDRF yang dilancarkan sejak 22 Jun lalu.

Katanya, ia membabitkan peluang pekerjaan yang ditawarkan 57 majikan dan 35 penyedia latihan di Sabah yang dilaksanakan melalui inisiatif itu.

"Mereka yang berjaya ini akan mula bekerja untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan dengan kadar gaji bermula antara RM1,800 dan RM7,000 sebulan.

"Kos latihan setiap pekerja ini dianggarkan RM5,000 setiap seorang, manakala untuk latihan kemahiran teknikal, kosnya mencecah lebih RM7,000 yang ditanggung sepenuhnya Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB)," katanya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, seramai 8,858 orang menerima bantuan Sistem Insurans Pekerja (SIP) membabitkan perbelanjaan RM10.8 juta di Sabah.

"Selain SIP, seramai 24,914 individu menerima subsidi upah ataupun PSU untuk mengekalkan mereka dalam bidang pekerjaan dengan perbelanjaan RM10.864 juta di Sabah.

"Saya sudah meminta semua agensi mengadakan program kemahiran dan latihan untuk mencipta peluang pekerjaan di Sabah sebagai program berterusan," katanya.

Pada 22 Jun lalu, HRDF mengumumkan lebih 20,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Inisiatif Penjana.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 8:50 PM