MUHAMMAD SYUKUR melihat Semek. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MUHAMMAD SYUKUR melihat Semek. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Hari ini ialah hari yang paling sedih dalam hidup saya apabila kerbau kesayangan mati kerana penyakit itu," kata Muhammad Syukur Khamis, 15, ketika ditemui di kandang kerbau miliknya, pagi ini.

Kerbau kesayangan Muhammad Syukur atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia', yang dipanggil Semek serta turut membintangi telemovie Budok Kuba itu disedari mati kira-kira 7 pagi di tepi pagar kandangnya.

Muhammad Syukur berkata, kerbau kesayangannya itu dianggarkan berusia tujuh tahun dan disedari mati oleh kakaknya, Nor Ain Amirah, 20, yang datang ke kandang untuk memeriksa kerbau.

"Sedih melihat keadaan Semek yang sedang bunting anak keduanya itu mati kerana penyakit itu.

"Semek ialah kerbau yang paling manja dengan saya. Bayangkan saya mula menjaga kerbau itu ketika saya berusia sembilan tahun.

"Kerbau itu juga yang sering digunakan untuk merakam gambar yang cantik dan memenangi pertandingan gambar," katanya.

Tambahnya, dia tidak menjangka kerbau kesayangan itu turut mati kerana penyakit itu.

"Semek tidak menunjukkan tanda sakit seperti selesema dan sebagainya, ia mati secara mengejut.

"Anaknya iaitu Along juga kerbau yang manja dengan saya tetapi Along sudah dicucuk antibiotik pada hari pertama.

"Semek tidak boleh dicucuk antibiotik kerana sedang bunting," katanya.

Menurutnya, dia berasa sangat sedih tetapi tetap reda dengan ujian dan musibah yang menimpanya itu.

"Dalam keadaan sekarang memang berasa sedih tetapi apa boleh buat semuanya sudah ditakdirkan berakhir seperti itu.

"Saya hanya berharap sebahagian kerbau yang masih hidup itu tetap bertahan dan selamat daripada wabak berkenaan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengesahkan lebih 30 ekor kerbau milik keluarga Muhammad Syukur diserang penyakit Heamoragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 9:39 AM