Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Aktivis Busana Melayu (ABM) berharap kerajaan mempertimbangkan pemakaian tanjak untuk gambar dalam kad pengenalan MyKad.

Presidennya Shahrul Fadzly Mohd Zainal berkata, pihaknya menyifatkan tanjak sebahagian pakaian tradisional yang sama taraf dengan songkok dan kopiah yang dibenarkan ketika ini.

Malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga dalam proses menyiapkan kertas kerja berkaitan sebelum diserahkan kepada kementerian berkaitan untuk dibawa ke perbincangan Kabinet sebelum diwartakan.

Katanya, tujuan utama mereka bukan semata-mata mahu tanjak dibenarkan dalam gambar MyKad, sebaliknya mahu mengembalikan jati diri terutama orang Melayu.

"Ini adalah kempen kesedaran yang kita sedang buat. Dalam pertemuan dengan pihak JPN, baru-baru ini, kami diperjelaskan dari segi undang-undang memang tiada peruntukkan untuk membenarkan pemakaian tanjak ketika mengambil gambar untuk kad pengenalan.

"Mereka menasihati kami supaya mengikut saluran betul dengan mengemukakan usul kepada kementerian berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sehingga cadangan dibawa ke Kabinet dan Parlimen.

"Jika boleh, kami juga ingin mencuba mendapatkan sokongan daripada pihak istana untuk memperkasakan pemakaian tanjak ini semula," katanya ditemui selepas menjadi panel wacana Santai Anak Muda Cinta Negara di sini, hari ini.

Wacana anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan (GPMSWP), Akademi Kajian Rantau Nusantara (AKAR) dan Bridge Sufi dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersempena Hari Malaysia.

Kira-kira 100 peserta pelbagai lapisan umur menyertai program itu memakai pakaian tradisional Melayu.

Shahrul Fadzly berkata, pihaknya berharap suatu hari nanti busana Melayu termasuk tanjak akan menjadi pakaian harian yang tidak segan dikenakan masyarakat seperti zaman dahulu.

"Sekarang sudah ada pemakaian batik pada setiap Khamis, baik juga jika tanjak mendapat tempat sebegitu, mungkin boleh dimulakan di jabatan kerajaan, sekolah dan universiti," katanya yang memulakan kempen memakai tanjak tahun lalu dan mendapat sambutan di Thailand, Indonesia dan Brunei.

Hadirin yang hadir bergambar bersama sempena Hari Malaysia  pada majlis Santai Anak Muda, Cinta Negara di Dewan Titiwangsa Kompleks Sukan Kg. Pandan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Hadirin yang hadir bergambar bersama sempena Hari Malaysia pada majlis Santai Anak Muda, Cinta Negara di Dewan Titiwangsa Kompleks Sukan Kg. Pandan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 4:52 PM