SUPERINTENDAN Ismail Dollah (kiri) menunjukkan rampasan hidupan liar menerusi Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan di daerah Seri Alam, Pasir Gudang. FOTO Ihsan POLIS JOHOR
SUPERINTENDAN Ismail Dollah (kiri) menunjukkan rampasan hidupan liar menerusi Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan di daerah Seri Alam, Pasir Gudang. FOTO Ihsan POLIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Dua lelaki ditahan dipercayai menyimpan dan memiliki daging biawak air dan daging babi hutan di sebuah premis di sini, semalam.

Kedua-duanya ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Seri Alam, dekat sini, kira-kira 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, operasi itu disertai 18 anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Pasukan Gerakan Am (PGA) (Batalion 3) serta tujuh dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor.

"Dalam operasi itu, kami memeriksa 10 premis di daerah berkenaan.

"Satu daripada premis dikesan menyimpan dan memiliki daging hidupan liar tanpa kebenaran mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ismail berkata, anggaran berat bagi biawak air adalah 17.5 kilogram, manakala babi hutan kira-kira empat kilogram.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahu dan lelaki warga India berusia 26 tahun.

"Daging hidupan liar yang dianggarkan bernilai RM700 turut dirampas.

"Kedua-dua lelaki berkenaan diserahkan kepada Perhilitan untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 5:20 PM