Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor Bahru mengambil inisiatif mewujudkan pusat sehenti bagi golongan penganggur dan pekerja yang diberhentikan kerja mencari pekerjaan di Pusat Kesihatan Komuniti Azlinda di Taman Suria, mulai bulan depan.

Ketua Srikandinya, Azlinda Abd Latif berkata, langkah itu dilakukan bagi memudahkan golongan berkenaan bertemu sendiri dengan majikan yang mencari pekerja untuk ditemuduga secara langsung.

Katanya, inisiatif itu diambil berikutan keluh kesah masyarakat khususnya di bandaraya ini yang terjejas kehilangan pekerjaan akibat penularan wabak Covid-19.

"Ramai yang mengadu mereka diberhentikan kerja dan sukar mencari pekerjaan dalam beberapa program Srikandi Johor Bahru di beberapa kawasan perumahan sebelum ini.

"Oleh itu, Srikandi BERSATU Johor Bahru memutuskan untuk membuka pusat sehenti bagi warga bandaraya terjejas mencari pekerjaan di Pusat Kesihatan Komuniti Azlinda di Taman Suria, mulai bulan depan.

"Kita akan membuka pusat sehenti itu setiap minggu bagi menghubungkan beberapa majikan dengan golongan yang memerlukan pekerjaan, apatah lagi majikan contohnya seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) memerlukan ramai pekerja namun tidak ramai tahu kekosongan jawatan ditawarkan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jom Semarakkan Srikandi Malaysia Prihatin di Pusat Kesihatan Komuniti Azlinda di Taman Suria di sini, hari ini.

Pada program itu, empat syarikat korporat iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), AEON, Fatimah International dan syarikat e-hailing Bumiputera, Best Ride, turut melakukan temu duga terbuka bagi mencari pekerja syarikat mereka.

Sementara itu, seorang peniaga baju, beg dan aksesori, Alhera Minor Zulhelmi, 27, berkata dia bersyukur diterima menyertai Best Rider dan akan mula bekerja minggu hadapan.

"Perniagaan pakaian dan beg saya di Pasar Borong Pandan dan Pasar Karat Johor Bahru terjejas berikutan Covid-19 dengan permintaan yang berkurangan.

"Alhamdulilah, syarikat seperti Best Rider menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji berbaloi bagi mengurangkan beban pekerja terjejas," katanya.

Ketua Srikandi BERSATU Johor Bahru,  Azlinda Latif, (dua dari kanan)  menyampaikan biasiswa kepada penerima selepas  melancarkan Program Semarak Srikandi Malaysia Prihatin di Balai Raya Taman Suria, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Ketua Srikandi BERSATU Johor Bahru, Azlinda Latif, (dua dari kanan) menyampaikan biasiswa kepada penerima selepas melancarkan Program Semarak Srikandi Malaysia Prihatin di Balai Raya Taman Suria, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 6:26 PM