MANGSA maut selepas tercampak ke tengah lebuh raya sebelum dirempuh kereta. FOTO ihsan polis.
MANGSA maut selepas tercampak ke tengah lebuh raya sebelum dirempuh kereta. FOTO ihsan polis.
BERNAMA

Hulu Selangor: Perjalanan konvoi sekumpulan penunggang motosikal sempena Hari Malaysia berakhir dengan tragedi apabila seorang maut manakala dua parah selepas terbabit dalam kemalangan empat kenderaan di Hulu Selangor, hari ini.

Mangsa, Shahiran Abdull Halim, 26, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Syahrul Nizzam Safar, 22, dan Muhammad Syarizi Abd Aziz, 30, parah dan dirawat di Hospital Selayang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kejadian pada 10.14 pagi di KM 409.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara itu membabitkan peserta konvoi dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perak.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang dua lelaki parah itu bergesel sesama sendiri.

"Penunggang maut pula turut terbabas susulan pergeselan itu dan tercampak ke lorong tengah lebuh raya sebelum dilanggar kereta Perodua Myvi.

"Mayat Shahiran dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 7:01 PM