PESERTA konvoi CBP ke Temerloh dilepaskan pagi tadi. FOTO Yusmizal Dolah Aling
PESERTA konvoi CBP ke Temerloh dilepaskan pagi tadi. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Co-op Bank Pertama (CBP) menerusi program khidmat masyarakat (CSR) CB Prihatin menganjurkan konvoi kemasyarakatan ke Temerloh, bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Antara program dijalankan ialah konvoi sambil menyerahkan sumbangan Program Bantuan Kewangan, aktiviti gotong royong kawasan Masjid Taman Temerloh Jaya dan edaran 400 bungkus bubur asyura.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Co-op Bank Pertama (CBP) Mohd Nor Abd Razak berkata, dianjurkan buat kali pertama, ia antara pendekatan murni yang sihat dalam kalangan pegawai dan kakitangan CBP untuk turut memberikan sumbangan kepada masyarakat serta mendidik mereka lebih prihatin kepada keperluan golongan sasaran.

Katanya, seramai 50 pelajar dan 30 keluarga asnaf menerima sumbangan berkenaan dan ia dianjurkan bagi menghidupkan budaya saling menghargai golongan kurang bernasib baik serta menghayati sambutan Hari Malaysia dengan pengisian penuh bermanfaat.

"Program sehari ini dimulakan dengan pelepasan konvoi motosikal disertai 30 kakitangan CBP dari Kuala Lumpur ke Temerloh, Pahang, bermula sekitar jam 8 pagi.

"Selain itu, Program Bantuan Kewangan adalah agihan zakat CBP disampaikan kepada 50 pelajar asnaf, masing-masing menerima sumbangan RM100 dan RM200 buat 50 keluarga asnaf miskin," katanya.

Mohd Nor berkata, program kemasyarakatan itu mampu memberi peluang dan kesempatan kepada CBP untuk saling berinteraksi secara terbuka, bertukar-tukar fikiran bagi menjalinkan hubungan baik antara organisasi itu dan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 7:24 PM