TAMBANG kapal terbang  mahal selain bimbang Covid-19 menyebabkan ramai rakyat Sabah yang menetap di Johor pulang mengundi. FOTO NSTP
TAMBANG kapal terbang mahal selain bimbang Covid-19 menyebabkan ramai rakyat Sabah yang menetap di Johor pulang mengundi. FOTO NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tambang kapal terbang yang mahal selain bimbang dijangkiti Covid-19 menyebabkan ramai rakyat Sabah yang menetap di negeri ini tidak pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September nanti.

Jurulatih Kecergasan, Nanirin Noomi, 27, yang sudah tiga bulan bekerja di sebuah pusat kecergasan di Johor Bahru berkata, dia tidak bercadang untuk balik ke Sabah walaupun sudah mendaftar sebagai pemilih.

"Saya pula baru bekerja tiga bulan dan tidak bercadang pulang dalam masa terdekat apatah lagi perlu menghantar duit gaji pulang bagi menyara keluarga di kampung.

"Jika ada pihak mahu menampung bayaran tiket pulang pun saya tidak pasti sama ada boleh pulang kerana perlu bekerja apatah lagi saya baru diterima bekerja," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kempen #PulangMengundiSabah menarik minat hampir 5,000 pengundi dari negeri itu khususnya belia yang tinggal di Semenanjung untuk pulang mengundi.

Kempen yang dilancarkan sejak Ogos lalu itu dilaporkan mensasarkan untuk membawa pulang 500 belia dalam kalangan kategori gaji di bawah RM3,000, untuk pulang mengundi.

Dianggarkan terdapat lebih 20,000 komuniti Sabah di negeri ini yang bekerja di dalam pelbagai sektor ekonomi.

Sementara itu, Faizal Sisar, 42, yang sudah menetap 20 tahun di bandar raya ini berkata, dia juga tidak akan pulang ke Sabah bagi mengundi.

Ini kerana, katanya, dia dan keluarga sudah menukar alamat mengundi dari Sabah ke Johor.

"Sebenarnya ramai rakyat Sabah di Johor sudah menukar alamat mengundi.

"Cuma dianggarkan masih ada lebih 5,000 rakyat Sabah yang masih mengundi di Sabah, namun kebanyakan mereka menyatakan untuk tidak pulang mengundi dengan alasan bekerja, harga tiket mahal dan bimbang Covid-19, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 7:47 PM