GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Klang: Dua warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes penipuan tahun lalu di daerah ini dicekup pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, suspek pertama ditangkap susulan laporan dibuat guru lelaki berumur 39 tahun di Bandar Baru Klang yang kerugian hampir RM20,000.

"Pada 19 Disember tahun lalu, mangsa dihubungi seorang wanita ketika berada di tempat kerja dan mendakwa namanya digunakan untuk mendaftar sebuah syarikat dan memaklumkan terdapat tunggakan cukai syarikat itu sebanyak RM10,600.76 tetapi mangsa menafikannya.

"Kemudian panggilan disambungkan kepada pegawai polis yang perkenalkan diri sebagai Inspektor Ismail, dalam perbualan itu pengadu dikatakan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

"Mangsa diminta memberikan maklumat berkaitan akaun bank yang mangsa ada iaitu semua akaun bank mangsa, juga 'username' dan kata laluan perkhidmatan atas talian bagi akaun bank," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata, selepas panggilan ditamatkan, mangsa ke bank di Klang untuk membuat semakan dan mendapati wang dalam akaun dipindahkan ke akaun pihak ketiga sebanyak RM19,960.60.

"Mangsa menyedari ditipu dan panggilan itu panggilan palsu dan membuat laporan polis.

"Susulan itu, seorang wanita (pemilik akaun) berumur 29 tahun ditangkap pada jam 11.05 malam Seksyen 6 Shah Alam," katanya.

Sementara itu, suspek kedua adalah seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun ditahan di Telok Panglima Garang, Kuala Langat jam 1.44 tengah hari, hari sama.

"Siasatan mendapati suspek memiliki lapan rekod lampau bersabit kes penipuan.

"Tangkapan suspek susulan laporan polis daripada mangsa yang diperdaya pelaburan penapis haba tingkap rumah pada 11 Disember lalu.

"Mangsa membuat pembayaran menerusi empat transaksi berjumlah RM8,500," katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi kedua-dua kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah yang dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab .

"Selain itu, orang ramai juga perlu membuat semakan secara terperinci sebelum melakukan apa-apa transaksi dan pembayaran. Orang ramai boleh membuat semakan melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi melihat sama ada akaun itu pernah disiasat atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 8:14 PM