ANTARA bayi yang dilahirkan pada Hari Malaysia di Hospital Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad
ANTARA bayi yang dilahirkan pada Hari Malaysia di Hospital Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: "Suami sering bercakap mahu bayi kami lahir pada Hari Malaysia dan tidak menyangka Allah SWT kabulkan impian kami," kata Nor Ashikin Ahmad, 32, yang selamat melahirkan bayi lelaki di Hospital Putrajaya pada 6.18 pagi, hari ini.

Setiausaha di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dari Presint 5 itu berkata, sebelum ini doktor memaklumkan bayinya dijangka lahir pada 16 September dan rasa bersyukur hasrat suami, Muhamad Zuhir Izuddin Abu Bakar, 32, tercapai.

Menurutnya, beliau mula mendapat tanda untuk bersalin pada 3 petang semalam dan terus merujuk kepada Hospital Putrajaya.

"Saya bersalin secara normal dan gembira kerana dapat melahirkan bayi Hari Malaysia seberat 3 kilogram (kg) yang juga anak ketiga saya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, suri rumah, Norhayati Baharudin, 30, dari Seri Kembangan berkata, dia tidak menyangka dapat melahirkan anak lelaki pada Hari Malaysia kerana doktor sebelum ini memaklumkan tarikh dia dijangka bersalin pada 22 September.

Beliau yang berasal dari Kemaman, Terengganu berkata, tarikh kelahiran anak ketiganya itu menjadi sejarah dan berharap bayinya nanti dapat berjasa kepada agama dan negara.

Kemanisan melahirkan bayi sulung pada Hari Malaysia turut dirasai Setiausaha di Majlis Keselamatan Negara (MKN), Emelia Abdul Rahim, 29.

Emelia berkata, sebelum ini dia hanya berpeluang menyaksikan kelahiran bayi orang lain pada hari bersejarah negara seperti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Katanya, tiada siapa menyangka dia dan suami, Khairul Azhar Khamis, 35, dikurniakan bayi lelaki seberat 3.2 kg yang dilahirkan secara normal pada jam 9 pagi hari ini.

"Doktor jangka bayi sulung saya akan pada 18 September namun dua hari lalu membuat pemeriksaan kencing manis dan pihak hospital memaklumkan bayi akan dilahirkan pada 16 September," katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora'i Mohd Said berkata, seramai 15 bayi dilahirkan di hospital berkenaan pada Hari Malaysia setakat jam 5.30 petang hari ini.

Menurutnya, Hospital Putrajaya menerima kelahiran 10 bayi lelaki dan lima bayi perempuan yang mana bayi perempuan pertama dilahirkan pada 4.36 pagi dan lelaki pada 5.26 petang.

Katanya, pihak hospital masih mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani Covid-19 di mana tidak membenarkan ahli keluarga melawat dan menjalani ujian saring sebelum melahirkan bayi yang boleh diketahui dalam jangka masa 24 jam.

Untuk rekod, 14 bayi dilahirkan pada sambutan Hari Malaysia tahun 2019 manakala 19 bayi pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini di hospital berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 8:34 PM