ANGGOTA bomba menggunakan peralatan khas mengeluarkan cincin. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menggunakan peralatan khas mengeluarkan cincin. FOTO ihsan bomba
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Seorang lelaki dipercayai menahan kesakitan selama seminggu apabila cincin di jari kelingking kanannya gagal ditanggalkan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Mohd Yusman Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.01 pagi tadi dari Hospital Kota Tinggi berhubung insiden itu.

Katanya, pihaknya menggerakkan enam anggota bersama sebuah jentera dan sebuah Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

"Mangsa berusia 30 tahun memerlukan bantuan untuk memotong cincin sehingga dapat dikeluarkan dengan selamat.

"Makluman awal, cincin itu sudah lama dipakai namun dalam tempoh seminggu ini, jari mangsa mula membengkak, namun dia tidak memaklumkan kepada sesiapa.

"Akibat tidak dapat menahan sakit, mangsa pergi ke hospital bagi mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusman berkata, bomba menggunakan peralatan khas dan operasi kemudiannya ditamatkan jam 11.55 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 10:22 PM