BOMBA sedang memadamkan api. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA sedang memadamkan api. FOTO Ihsan Bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Empat unit rumah panjang musnah dalam kebakaran di Jalan Ikan Emas, awal pagi, hari ini, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.

Komander Operasi Kanan, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur Rodzlan Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.59 pagi.

"Seramai 51 anggota menaiki 12 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, BBP Pudu dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Selain rumah panjang, kereta dan motosikal masing-masing turut terbakar 15 dan 50 peratus dalam kejadian terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran kawasan itu dapat dikawal kira-kira 4.20 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian serta jumlah kerugian yang dialami.

"Semua penghuni rumah berkenaan berada dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 10:49 AM