MUHYIDDIN Yassin (tengah) bergambar bersama Muhammad Jailani (dua dari kiri) dan Norhizam (kiri) serta Datuk Noor Effandi Ahmad (kanan) dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dalam pertemuan di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. FOTO NSTP
MUHYIDDIN Yassin (tengah) bergambar bersama Muhammad Jailani (dua dari kiri) dan Norhizam (kiri) serta Datuk Noor Effandi Ahmad (kanan) dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dalam pertemuan di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. FOTO NSTP
Amir Mamat


Ayer Keroh: "Tiada sebarang perbincangan politik antara kami dengan Tan Sri Muhyiddin (Yassin)," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Sebaliknya, beliau yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri berkata, pertemuan dengan Perdana Menteri, Isnin lalu hanya berkaitan perancangan untuk meningkatkan ekonomi negeri menerusi sektor pelancongan.

Beliau berkata, pertemuan itu turut disertai Adun Pengkalan Batu merangkap Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sebuah hotel, di Banda Hilir, di sini.

"Perdana Menteri memanggil saya bersama Norhizam bagi membincangkan soal kerja, khususnya yang berkaitan dengan portfolio kami berdua.

"Beliau meminta kami terus memperkasa sektor pelancongan dan pertanian yang menjadi teras kepada sumber pendapatan negeri.

"Tan Sri juga ada memberikan beberapa pandangan dan nasihat mengenai kedua-dua bidang berkenaan dan kami ambil setiap pandangan itu untuk dibincang seterusnya melaksanakannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isnin lalu, Muhyiddin melakukan lawatan kerja sehari ke Melaka dan turut mempengerusikan mesyuarat Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pertama di luar Kuala Lumpur yang di sebuah hotel.

Beliau sebelum melakukan tinjauan mesra di Bazar Rakyat serta menjamu selera di sebuah restoran asam pedas di Banda Hilir.

Sejak itu, tersebar di media sosial sekeping gambar pertemuan Muhammad Jailani dan Norhizam dengan Muhyiddin, dipercayai di sebuah bilik tetamu di hotel terbabit.

Pertemuan itu dikatakan menjurus kepada penyertaan kedua-dua Adun berkenaan ke dalam Bersatu.

Muhammad Jailani dan Norhizam kini berstatus Bebas selepas mereka dipecat daripada parti masing-masing sejak Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 1:13 PM