Ekhwan Haque Fazlul Haque


Beaufort: Rakyat Sabah perlu menebus semula kesilapan memilih kerajaan negeri demi memastikan lebih banyak limpahan kemakmuran dibawa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dipilih untuk memikul tanggungjawab mengetuai kerajaan dalam tempoh yang sukar akibat Covid-19, namun rakyat masih terus menjadi keutamaan.

Menurutnya, walaupun dilabelkan sebagai 'Perdana Menteri pintu belakang', namun itu tidak sesekali melemahkan semangatnya dan barisan Kabinet untuk terus berbakti kepada rakyat.

"Ada sesetengah kata, saya Perdana Menteri 'pintu belakang' (tapi), saya datang dari pintu istana dan tidak terduga saya berdepan cabaran maha besar.

"Saya pikul tanggungjawab dan tidak kira asalkan rakyat Malaysia berhak terima perlindungan daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri di Pekan Kuala Penyu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, merangkap Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Limus Jury.

MUHYIDDIN ketika berucap pada majlis ramah mesra di Pekan Kuala Penyu. FOTO Aswadi Alias
MUHYIDDIN ketika berucap pada majlis ramah mesra di Pekan Kuala Penyu. FOTO Aswadi Alias

Dalam ucapannya juga, Pengerusi PN itu juga menyatakan keyakinan pembangunan infrastruktur yang dirancang di Kuala Penyu akan tetap diteruskan Kerajaan Pusat seperti yang sudah luluskan sebelum ini.

Katanya, kerajaan PN mahu membuktikan kemampuan untuk menguruskan negara walaupun dalam keadaan sukar.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini adalah penentu untuk mengembalikan Sabah menjadi sebuah negeri yang lebih baik.

"Saya berharap kerajaan negeri yang dibentuk sehaluan dengan kerajaan PN dan gabungan parti lain," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 1:25 PM