Foto hiasan
Foto hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Polis akan menjalankan operasi menebang pokok ketum di kawasan Felda bermula minggu hadapan.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, penebangan itu akan dilakukan mengikut Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 yang dikhususkan kepada entiti Felda walaupun tiada akta khusus membenarkan penebangan pokok ketum dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, menerusi akta berkenaan pihaknya akan dibantu oleh pengurusan Felda di peringkat wilayah dan Pejabat Tanah dan Galian negeri bagi memastikan tiada tanaman ketum akan ditanam di atas tanah milik kerajaan.

"Penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut kuasa GSA terbabit yang memperuntukkan perjanjian tanah antara peneroka bersama Felda dan kerajaan negeri.

"Kita akan bertemu dengan penduduk di tiga kawasan tanah rancangan Felda iaitu Felda Mata Ayer, Felda Rimba Emas dan Felda Chuping khususnya bagi menerangkan perkara ini," katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Felda Mata Ayer di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Surina berkata, ratusan pokok ketum ditemui pihaknya yang didapati ditanam oleh peneroka Felda di negeri itu.

"Kita tidak mahu disebabkan ketum, nama baik Felda tercemar seterusnya menggalakkan lagi aktiviti tidak sihat dalam kalangan generasi muda dalam kawasan itu.

"Sebab itu kita jadikan Ketua Polis Daerah Padang Besar sebagai 'bapa angkat' kepada tiga tanah rancangan Felda di negeri ini agar mereka boleh salurkan maklumat tanpa perlu rasa takut," katanya.

Surina berkata, sejurus penebangan pokok ketum terbabit dilaksanakan, pihaknya akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan berkala bagi memastikan kawasan Felda tidak dipenuhi dengan pokok ketum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 1:28 PM