Foto hiasan
Foto hiasan
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak hospital dan klinik swasta di sini, supaya berhenti daripada mengenakan caj sebanyak RM5 bagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dalam kalangan pesakitnya.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan beberapa aduan diterima pihaknya bahawa pesakit diminta membayar sejumlah wang itu yang dicaj selepas mendaftar masuk ke hospital dan klinik berkenaan.

Menurutnya, hospital dan klinik swasta tidak seharusnya mengenakan caj kepada pesakit bagi pematuhan SOP sedangkan tiada pihak lain yang mengenakannya caj itu.

"Jika memasuki mana-mana premis, bacaan suhu, mengenakan cecair pembasmi kuman, penjarakan fizikal dan mendaftar masuk menerusi MySejahtera adalah SOP yang ditetapkan kepada semua.

"Kami tertanya-tanya mengapa pesakit di hospital dan klinik swasta pula diminta berbuat demikian (mengenakan caj)", katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, pematuhan SOP itu adalah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak atau pemilik premis.

Katanya, daripada aduan itu didapati caj berkenaan dimasukkan ke dalam bil pesakit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 1:49 PM