AKIF Rabbani gembira aplikasi ciptaannya,Datang.my mendapat sambutan pengguna seluruh negara. FOTO Ihsan Muhammad Akif Rabbani Ab Rashid
AKIF Rabbani gembira aplikasi ciptaannya,Datang.my mendapat sambutan pengguna seluruh negara. FOTO Ihsan Muhammad Akif Rabbani Ab Rashid
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Percubaan penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muhammad Akif Rabbani Ab Rashid membangunkan aplikasi Datang.my bagi merekod kehadiran menerusi imbasan kod QR tidak sia-sia apabila ciptaannya kini digunakan di 10,000 lokasi di seluruh negara.

Ia merangkumi lebih 1,800 sekolah, pejabat, kilang, masjid dan rumah ibadat yang lain.

Penuntut lelaki berusia 23 tahun yang lebih mesra dipanggil Akif Rabbani mengakui gembira dengan penerimaan baik terhadap aplikasi dibangunkannya itu terutama apabila tiada aduan berkaitan gangguan teknikal diterima daripada pengguna, setakat ini.

Selaku pengasas dan pemilik syarikat Bayam PLT, katanya, sokongan itu memberinya keyakinan untuk menambah baik perkhidmatan dan menghasilkan lebih banyak aplikasi yang bermanfaat untuk masyarakat pada masa akan datang.

Katanya, sehingga kini, kira-kira dua juta pelajar berdaftar dengan aplikasi ini, manakala sejuta imbasan direkodkan secara purata setiap hari.

"Sejak mula diperkenalkan, kami memastikan penggunaan sistem adalah di tahap optimum supaya sistem berfungsi dengan pantas dan saya bersama pasukan juga ada memuat naik video tutorial di YouTube untuk mengajar cara penggunaan (aplikasi) yang betul.

MURID SK Semenyih menggunakan aplikasi Datang.my yang berfungsi merekodkan kehadiran ke sekolah. FOTO Ihsan Muhammad Akif Rabbani Ab Rashid
MURID SK Semenyih menggunakan aplikasi Datang.my yang berfungsi merekodkan kehadiran ke sekolah. FOTO Ihsan Muhammad Akif Rabbani Ab Rashid

"Saya juga memberi tunjuk ajar dan menjawab soalan pengguna menerusi Telegram dan kumpulan Facebook (FB) pengguna Datang.my yang kini mempunyai lebih 6,800 ahli.

"Ada juga pengguna secara sukarela memuat naik video tutorial di YouTube bagi memberi tunjuk ajar cara penggunaan aplikasi dan ia amat menggembirakan saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Akif Rabbani berkata, aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery bermula 1 Julai lalu.

Menurutnya, banyak pihak mahu menyumbang dan syarikatnya turut menyediakan ruang untuk berbuat demikian dengan dana diterima akan digunakan bagi menampung kos penyelenggaraan pelayar (server) dan kos pembangunan aplikasi.

"Buat masa ini, syarikat saya menampung kos dianggarkan ribuan ringgit sebulan, itu belum termasuk kos membayar gaji lima kakitangan yang bekerja sepenuh masa.

"Selain sumbangan orang ramai, syarikat saya mengeluarkan produk yang boleh membantu penggunaan sistem dengan lebih efektif iaitu Bluetooth termometer inframerah untuk merakam suhu terus ke aplikasi.

"Menerusinya, kita dapat sumber kewangan yang sedikit-sebanyak membantu syarikat untuk bertahan," katanya yang juga menawarkan khidmat sebagai perunding perniagaan teknologi maklumat (IT) separuh masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 3:14 PM