GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP/ATM
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP/ATM
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seramai 65 pendatang tanpa izin (Pati), tiga penyeludup dan tiga tekong diberkas dalam Operasi Benteng, semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Operasi itu dilakukan secara bersepadu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah berkenaan, pasukan ATM menahan 27 Pati kerana cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di Kompleks Rakan Muda, Bandar Penawar, Johor.

Katanya, PDRM pula antaranya berjaya menahan seorang lelaki tempatan kerana terbabit dengan aktiviti penyeludupan di Rantau Panjang, Kelantan.

"Selain itu, pasukan turut berjaya merampas 10 kenderaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-184 dan hari ke-100 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, sebanyak 81 sekatan jalan raya (SJR) dilaksana membabitkan 59 SJR PDRM, Aksem (10 SJR) dan ATM (12 SJR).

"Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Mengenai perintah kuarantin wajib, katanya, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 29,748 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 71 hotel dan lapan premis lain.

Penempatan termasuk di Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, 9,517 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 20,160 individu sudah discaj dan dibenarkan pulang.

"Mereka dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom (UK), Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Sementara itu, katanya, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan keperluan asas di 708 premis perniagaan yang membabitkan peruncit (506), pemborong (172) dan pengilang (30).

Ismail Sabri berkata, barang keperluan didapati mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan.

"Bagi 1,571 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP, terdapat 15 premis diberi nasihat kerana didapati tidak patuh SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 3:49 PM