GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Biarpun pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi memastikan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih ramai lagi dikesan gagal mematuhinya.

Semalam, polis menahan 101 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dengan 86 individu dikompaun manakala 15 individu direman.

Menteri Kanan (Kluster keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan itu termasuk tidak memakai pelitup muka iaitu seramai 26 orang, ingkar perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (24), penjarakan fizikal (19), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (13), tangkapan pendatang asing tanpa izin (10), aktiviti dalam kelab malam (6) dan premis beroperasi lebih masa seramai tiga orang.

Sementara itu, 88 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ditahan di dalam Operasi Benteng, selain empat tekong dan seorang penyeludup manakala lapan kenderaan darat turut dirampas.

"Sejak 24 Julai sehingga 17 September 2020, seramai 30,314 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 69 Hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,350 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 20,893 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga melakukan 1,225 pemeriksaan khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,216 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala sembilan premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 3:28 PM