Petugas TNB melakukan pemotongan elektriki. FOTO DANIAL SAAD
Petugas TNB melakukan pemotongan elektriki. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Dua puluh dua pengusaha mata wang kripto Bitcoin di negeri ini didapati mencuri bekalan elektrik dengan membuat penyambungan secara haram terus daripada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Akibatnya, TNB kerugian ratusan ribu ringgit sebulan malah penyambungan tanpa sistem keselamatan terbabit turut membahayakan keselamatan orang ramai.

Perbuatan itu dikesan Suruhanjaya Tenaga (ST) yang menjalankan operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), TNB, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak semalam.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan (JPOK) ST Mohd Elmi Anas berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan intipan sejak dua minggu lalu.

"Kita kesan aktiviti ini apabila berlaku kejadian fius elektrik terbakar sedangkan bayaran bil penggunaan elektrik rendah.

"Kami menjalankan intipan dan risikan sebelum menemui premis bitcoin yang beroperasi dengan mencuri elektrik," katanya selepas menyerbu sebuah premis dekat Seberang Jaya di sini, hari ini.

Pada serbuan itu, 80 mesin bitcoin bersama peralatan komputer dirampas.

Mohd Elmi berkata, pihaknya mengambil masa hampir sejam untuk memotong pintu sebelum menemui premis rahsia yang menjalankan kegiatan itu.

"Kami anggarkan, premis ini mencuri bekalan elektrik sebanyak 320 ampere meter yang mana mengikut tarif TNB, ia kerugian RM24,000 sebulan dan ia hanya untuk satu premis sahaja," katanya.

Jelasnya, operasi juga dijalankan bagi melindungi orang ramai daripada ditimpa kejadian tidak diingini.

"Bukan saja mencuri elektrik malah penyambungan pula dilakukan tanpa sistem perlindungan seterusnya memberi risiko kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 4:43 PM