FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuantan: Seorang mekanik sambilan dihukum penjara enam tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki dan menyimpan bahan lucah termasuk video pornografi kanak-kanak, minggu lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali turut memerintahkan Lim Ming Soon, 40, menjalani kaunseling dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun serta dipenjara 12 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Lim didakwa memiliki dan menyimpan imej dan video lucah itu di dalam tiga unit pemacu pena, seunit cakera keras, telefon bimbit dan komputer riba miliknya, pada 1.30 tengah hari, 11 September lalu di rumahnya di Jalan Haji Ahmad, di sini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya kerana memiliki gambar dan video lucah pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Pada prosiding itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Rahiza Zulkifli yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya hanya dikenakan hukuman ringan dengan alasan lelaki itu tidak mempunyai pendapatan tetap selain menjaga ibu bapa uzur.

Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam, mengambil kira kes itu membabitkan kepentingan awam terutama golongan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 5:02 PM