Dharshini (kiri) berbual dengan Zulkifli (kanan) di SMK Danau Kota, Setapak. FOTO ihsan pembaca
Dharshini (kiri) berbual dengan Zulkifli (kanan) di SMK Danau Kota, Setapak. FOTO ihsan pembaca
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Sangat terharu kerana beliau sanggup meluangkan masa datang ke sekolah untuk bertemu saya walaupun sibuk dengan urusan lain," kata M Dharshini, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota, Setapak.

Dharshini memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perasaannya selepas menerima kunjungan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di perpustakaan sekolahnya, jam 3 petang tadi.

Bercerita lanjut, Dharshini mengakui terkejut apabila dimaklumkan guru yang Menteri Agama mahu bertemu dengannya.

"Ini kali pertama saya bertemu dengannya dan beliau sempat meluangkan masa selama 10 minit dengan saya.

"Pelbagai soalan ditanyakan beliau kepada saya, antaranya mengapa memilih Tasawwur Islam sebagai subjek elektif untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan rasa kagum kepada saya kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Dharshini, di akhir pertemuan, Zulkifli ada memberi pesanan kepadanya bersama dengan wang saguhati.

"Beliau berpesan kepada saya supaya belajar rajin-rajin dan jika panjang umur, beliau mahu saya jadi doktor yang berjaya.

"Saya akan ingat pesanan itu sampai bila-bila dan berusaha mencapai cita-cita untuk menjadi doktor," katanya.

Hari ini, akhbar Harian Metro melaporkan kisah Dharshini yang mendapat perhatian ramai kerana mengambil Tassawur Islam sebagai subjek elektif untuk menduduki SPM, Januari depan.

Lebih mengagumkan, M Dharshini yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu konsisten mendapat keputusan cemerlang iaitu gred A+ dan A- setiap kali menduduki ujian bagi subjek berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Dharshini cemerlang ujian Tassawur Islam
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:28 PM