GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


Melaka: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas empat lelaki, termasuk dua beradik selepas didapati bersalah membunuh seorang kenalan mereka, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu terhadap MP Namasivayam, 30; P Narendranpathy, 33; P Sethupathi, 32 dan Aiman Mazlan, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Sejurus keputusan itu dibacakan, semua tertuduh dilihat tertunduk dan menitiskan air mata.

Mohd Firuz pada penghakimannya turut melepas dan membebaskan dua lagi tertuduh A Satish, 26 dan G Vincent Lawrence, 28.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menyebabkan kematian B R Sivan yang ketika itu berusia 32 tahun, di hadapan sebuah rumah di Jalan BJ 2, Taman Bertam Jaya, di sini kira-kira jam 10.45 malam pada 4 Mei 2013.

Mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sethupathi dan Aiman turut didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap abang dan adik si mati iaitu Muniandy dan Garnesan yang masing-masing kini berusia 36 dan 41 tahun dengan menggunakan parang iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu, mereka dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkapan pada 11 September 2013.

Dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris berkata, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk kepentingan awam, keseriusan dan kekerapan kes bunuh serta senjata yang digunakan dalam insiden itu.

Katanya, semua mangsa dalam kes ini adalah adik-beradik dan insiden pembunuhan itu pula berlaku di hadapan ibu serta anak saudara mangsa.

Kejadian berkenaan meninggalkan kesan mendalam terhadap ibu mangsa yang mana seorang anaknya maut manakala dua lagi mengalami cacat kekal.

Terdahulu, seramai 36 saksi pendakwaan dan 10 saksi pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Semua tertuduh diwakili peguam, Paul Krishnaraja, Andrew Lourdes, Raftfizi Zainal Abidin dan Asmawi Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 7:13 PM