GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 457 kes daripada 550 kes positif bagi Kluster Benteng LD adalah membabitkan banduan dan tahanan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 7,814 individu disaring bagi kluster itu di tiga daerah di Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau dan Sandakan, hari ini.

"Berdasarkan keseluruhan saringan bagi kluster ini, seramai 1,388 banduan dan tahanan disaring dengan dengan 457 kes positif, 1,158 kakitangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau (20 kes positif); 1,391 ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan (23 kes positif); 1,036 pegawai agensi kerajaan lain (1 kes positif) dan 2,841 kontak sosial (49 kes positif).

"Daripada 550 kes positif, 271 adalah dalam kalangan warganegara Malaysia, manakala 279 lagi bukan warganegara membabitkan Filipina (185 kes) dan Indonesia (94 kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 345 individu disaring di Kunak dan Semporna, Sabah, dengan 14 kes positif termasuk empat kes baharu direkodkan hari ini bagi Kluster Pulau.

"Daripada jumlah itu, 342 individu disaring) di Kunak dengan 11 kes positif, manakala tiga saringan di Semporna didapati semuanya dikesan positif. Jumlah 14 kes positif itu membabitkan 13 warganegara Malaysia, manakala satu lagi kes adalah warganegara Filipina.

" Sementara itu, seramai 137 individu disaring dalam Kluster Selamat dengan lima kes positif, manakala 132 individu lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, seramai 59 individu disaring di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu bagi Kluster Bunga dengan 11 kes positif direkodkan sehingga hari ini.

"Daripada jumlah saringan itu, 45 adalah warganegara Malaysia dan 14 adalah bukan warganegara yang berasal dari India (6); Filipina (6); Singapura (1) dan Ghana (1)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 7:17 PM