Orang ramai dihalang menghampiri Pantai Morib susulan benteng pemecah ombak di pantai itu runtuh. FOTO IHSAN UPBN
Orang ramai dihalang menghampiri Pantai Morib susulan benteng pemecah ombak di pantai itu runtuh. FOTO IHSAN UPBN
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Dua ban pecah, manakala satu benteng pemecah ombak runtuh di tiga lokasi berbeza di daerah ini susulan fenomena air pasang besar.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima laporan dua ban di Pantai Kelanang dan Kampung Sawah pecah, namun hanya dalam skala kecil, pagi hari ini.

Selain itu, katanya, benteng pemecah ombak di Pantai Morib turut runtuh.

"Namun, tiada keperluan untuk memindahkan penduduk setakat ini.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan dan sedang melakukan pembaikan jangka pendek dengan meletakkan beg pasir kerana air laut dijangka naik hingga paras 5.7 meter pada Sabtu dan Ahad," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Fairus berkata, pihaknya sudah mengambil langkah segera dengan menghalang orang ramai menghampiri lokasi kejadian.

"Hasil pemantauan di lokasi terdapat hakisan tembok sepanjang 30 meter, dan pita penghalang dipasang di kawasan terjejas.

"Bagaimanapun, kejadian ini tidak menyebabkan air melimpah serta menjejaskan penempatan berhampiran pantai," katanya.

Sementara itu, ban yang pecah di Pantai Kelanang dianggarkan sepanjang 0.2 meter.

"Skuad UPBN juga membuat pemantauan darat dan udara di Kampung Sawah mengesan hakisan sepanjang 1 meter, bagaimanapun tiada penempatan terjejas.

"Pihak kami akan terus memantau dan mengambil tindakan susulan serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa," katanya.

Katanya, paras air tertinggi dicatatkan hari ini adalah 5.5 meter pada 6.38 pagi.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 7:19 PM