POKOK tumbang menimpa rumah penduduk ketika ribut kuat di Kampung Pulau Setelu, petang semalam. FOTO RAMLI IBRAHIM.
POKOK tumbang menimpa rumah penduduk ketika ribut kuat di Kampung Pulau Setelu, petang semalam. FOTO RAMLI IBRAHIM.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Enam keluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka rosak selepas dilanda ribut di Kampung Pulau Setelu, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, dua keluarga sempat berlari berselindung di tempat selamat dalam rumah sebaik pokok tumbang menimpa kediaman mereka.

Mangsa, Mohd Zamri Mat Arof, 42, berkata kejadian ribut itu cukup pantas dan dalam masa tidak sampai 10 minit dua pokok tumbang.

Katanya, ketika kejadian, keluarganya sedang berehat di ruang tamu sebelum menyedari rumah mereka bergegar dilanda angin kencang.

"Serentak dengan hujan lebat itu, pokok tumbang menimpa bumbung rumah tetapi isteri bersama tiga anak terselamat.

"Mujur kami cepat bertindak selamatkan diri dan melarikan diri ke ruang dapur manakala air hujan memasuki rumah menerusi atap bocor," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusof berkata, kerajaan akan membantu membaiki rumah mangsa bagi meringankan beban mereka terutama ketika berdepan Covid-19.

Beliau berkata, hanya terdapat dua daripada enam rumah rosak teruk di bahagian bumbung kerana ditimpa pokok tumbang.

"Mungkin kami akan bergotong-royong membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung untuk membaiki rumah terbabit.

"Apapun kami bersyukur kerana semua enam keluarga yang berada dalam rumah ketika kejadian tidak cedera," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 3:03 PM