GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 93 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan 85 dikompaun, manakala lapan lagi direman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan dikesan ialah tidak memakai pelitup muka iaitu 33 individu, diikuti 32 individu berkaitan penjarakan fizikal dan 14 individu bagi aktiviti dalam pub dan kelab malam.

"Bagi premis beroperasi tanpa kebenaran membabitkan tujuh individu, enam gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri manakala seorang dikesan gagal kemukakan surat kebenaran keluar/masuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini, hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 65 pendatang asing tanpa izin (Pati), tiga tekong dan seorang penyeludup ditahan ketika cuba menyusup masuk ke dalam negara semalam, manakala 14 kenderaan darat turut dirampas dalam operasi itu.

Beliau berkata, sebanyak 82 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan, membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 30,717 individu sudah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Katanya, kesemua mereka ditempatkan di 70 hotel serta lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,753 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan seramai 20,893 individu dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 4:48 PM