Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Impian seorang wanita memiliki anak angkat lebur, malah menanggung kerugian RM2,750 apabila ditipu dalam urusan pengambilan anak angkat yang tidak wujud, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Susperintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 41 tahun dari Lipis itu berurusan dengan seorang wanita yang juga kenalannya menerusi telefon pada 4 Ogos lalu.

Menurutnya, mangsa menerima gambar tiga bayi dihantar melalui WhatsApp untuk dipilih dan bersetuju memilih seorang daripadanya iaitu bayi perempuan.

"Untuk mendapatkan bayi berkenaan, mangsa perlu membayar RM4,000 termasuk wang pendahuluan RM1,500.

"Mangsa membuat bayaran wang pendahuluan RM1,000 dan pada hari sama membayar kali kedua sebanyak RM200 dan dua bayaran dibuat pada 7 Ogos lalu ke dalam akaun bank sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas pembayaran pendahuluan dibuat, suspek meminta maklumat peribadi mangsa dan suami termasuk kad pengenalan serta sijil perkahwinan mereka.

Beliau berkata, mangsa menyerahkan maklumat dan salinan dokumen selain turut diminta menyelesaikan baki bayaran pendahuluan RM300.

"Mangsa turut membayar RM500 bagi urusan memproses dokumen kelahiran bayi berkenaan, selain RM250 bagi mempercepatkan proses pengambilan anak angkat itu.

"Selepas bayaran diterima, suspek maklumkan pihaknya sudah berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan sijil kelahiran, namun gagal kerana sistem tergendala.

"Pada 27 Ogos lalu, suspek menghubungi mangsa memberitahu prosedur pembeli akan dikenakan bayaran RM500 dan dia membuat bayaran itu pada hari sama dan secara keseluruhannya, mangsa membayar RM2,750 melalui lapan transaksi pemindahan wang," katanya.

Beliau berkata, selepas semua bayaran diminta ditunaikan, mangsa mula curiga apabila suspek memberi pelbagai alasan dan urusan pengambilan anak angkat itu belum selesai.

Katanya, mangsa yang mengesyaki ditipu membuat laporan di Balai Polis Kuala Lipis, semalam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 4:53 PM