SANTHARA pada pelancaran Program 'We Love, We Serve, We Hope' anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SANTHARA pada pelancaran Program 'We Love, We Serve, We Hope' anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan akan merujuk kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) berhubung rungutan pembeli Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di Presint 11, Putrajaya yang mendakwa kediaman itu tidak mengikut spesifikasi pembinaan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada PPj untuk tindakan lanjut.

"Saya harus rujuk dulu dengan Presiden PPj. Kita akan dapatkan maklumat terperinci apakah maksud masalah 'finishing' yang menjadi rungutan pembeli," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Program 'We Love, We Serve, We Hope' anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

Santhara diminta mengulas mengenai rungutan seorang pengguna laman sosial, yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap projek perumahan berkenaan.

Menerusi catatan di Facebooknya, pengguna itu memaklumkan projek perumahan berkenaan sangat teruk dan ia bukanlah projek yang diperoleh secara percuma.

STATUS yang dimuatnaik seorang pengguna Facebook.
STATUS yang dimuatnaik seorang pengguna Facebook.

"Kenapa teruk sangat Projek PPAM Melinjau ni...kami beli, bukan dapat percuma... 'Finishing' hancur plaster pakai kaki..,bukan tu je tapi banyak lagi..siapa berani dan ikhlas projek bawah PBT mana, jawapan biar ikhlas," tulisnya dalam catatan itu.

Mengulas lanjut, Santhara berkata, beliau akan memastikan perkara itu akan diambil tindakan selepas perbincangan diadakan dengan Presiden PPj.

Ini kerana katanya, secara umumnya projek yang dijalankan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sepatutnya memiliki tahap pembinaan yang berkualiti.

"Memandangkan rungutan individu berkenaan terlalu spesifik, maka ia akan dirujuk kepada PPj supaya tindakan susulan segera diambil pihak terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 5:22 PM