DUA beranak maut dan seorang cedera selepas treler hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 20 Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands.FOTO Ihsan Bomba Perak
DUA beranak maut dan seorang cedera selepas treler hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 20 Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands.FOTO Ihsan Bomba Perak
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Identiti dua beranak yang maut dalam nahas membabitkan treler hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 20 Jalan Keramat Pulai di sini, petang semalam sudah dikenal pasti.

Mangsa terbabit, Riya Mohd Afit berusia lingkungan 40-an warga Indonesia dan dipercayai isteri kepada pemandu treler terbabit.

Seorang lagi yang maut adalah Tamin Fardan Mohd Elias berusia kira-kira tiga tahun adalah anak tiri kepada pemandu treler berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Perak Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, pemandu yang cedera, Mohd Zuki Bakar, 45, cedera di paha.

"Waris pemandu sudah dihubungi dan spesimen darah diambil untuk ujian toksikologi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zakaria berkata, kejadian berlaku pada 2.40 petang selepas treler berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan sebelum melanggar tebing batu di tepi jalan.

"Anggota polis sudah bertindak melawat lokasi kejadian dan treler berkenaan ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM)," katanya.

Semalam dilaporkan treler berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala Cameron Highlands sebelum terbabas di kawasan itu.

Berita berkaitan

Dua beranak maut, treler terbabas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 5:36 PM