ASSAFAL P Alian. FOTO Ihsan Assafal Alian
ASSAFAL P Alian. FOTO Ihsan Assafal Alian
Olivia Miwil


Lahad Datu: Walaupun statistik kes jangkitan Covid-19 di daerah ini mencatat peningkatan hari demi hari, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku, Assafal P Alian tetap meneruskan kempen mendekati pengundi.

Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu menegaskan, setiap pergerakan kempennya berada dalam lingkungan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengekang jangkitan Covid-19.

"Saya akui pergerakan penduduk setempat agak terbatas dengan perkembangan semasa.

"Bagaimanapun, ia membuka ruang dan peluang bagi saya mendekati mereka menerusi pendekatan lebih peribadi," katanya di sini, hari ini.

Pada 1 September lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan penemuan Kluster Benteng LD hasil saringan terhadap tahanan baharu di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Semalam, sebanyak 76 kes baharu dilaporkan, iaitu angka tertinggi sejak ia dikesan bagi menjadikan jumlah kes positif kluster itu meningkat kepada 550 kes,

Assafal turut menggunakan pendekatan menghubungi pengundi di kawasannya sebagai kaedah kempen, selain ceramah dan mengadakan perjumpaan.

"Pengundi terkejut apabila saya hubungi mereka secara peribadi dan tidak percaya wakil rakyat sendiri yang menelefon.

"Panggilan itu lebih kepada susulan dan memperkukuhkan apa yang sudah dibuat oleh jentera pilihan raya yang menghubungi kelompok ini lebih awal," katanya.

KEMPEN mendekati pengundi dalam lingkungan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang jangkitan Covid-19. FOTO Ihsan Assafal Alian
KEMPEN mendekati pengundi dalam lingkungan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang jangkitan Covid-19. FOTO Ihsan Assafal Alian

Ditanya sama ada perkembangan Covid-19 boleh menjejaskan jumlah pengundi yang keluar menunaikan kewajipan pada 26 September ini, beliau yakin bilangannya mampu mencecah antara 70 hingga 75 peratus.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Assafal memenangi kerusi DUN Tungku dengan majoriti 1,001 undi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ini, beliau berdepan saingan lima penjuru membabitkan calon Parti Cinta Sabah (PCS), Barisan Nasional (BN), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan seorang calon Bebas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 5:47 PM