STOR penyimpanan fail Hospital Kuala Lumpur (HKL) terbakar 10 peratus malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
STOR penyimpanan fail Hospital Kuala Lumpur (HKL) terbakar 10 peratus malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Perkhidmatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak terjejas dan berjalan seperti biasa selepas stor penyimpanan fail terbakar malam tadi.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Heric Corray berkata, kejadian kebakaran disedari apabila Bilik Kawalan dan Pusat Panggilan Hospital dimaklumkan mengenai bunyi Penggera Kebakaran yang dikesan daripada alat pengesan asap.

Menurutnya, bomba dihubungi pada 11.07 malam dan api berjaya dipadamkan oleh petugas hospital pada 11.20 malam.

"Semasa insiden kebakaran, beberapa wad berdekatan dikosongkan dan pesakit dikeluarkan untuk tujuan keselamatan.

"Cawangan Forensik dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menjalankan siasatan selepas api dipadamkan sebelum mengisytiharkan api dipadamkan sepenuhnya dan membenarkan pesakit serta petugas kembali ke wad masing-masing pada 12.48 tengah malam.

"Sebaik sahaja diisytiharkan selamat, pemindahan semula pesakit ke wad masing-masing dilaksanakan dan selesai lebih kurang jam 2 pagi," katanya dalam satu kenyataan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 10:34 AM