PATI ditahan Batalion 4 PGA awal pagi semalam. FOTO Ihsan PGA
PATI ditahan Batalion 4 PGA awal pagi semalam. FOTO Ihsan PGA
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Seorang wanita warga Indonesia yang ditahan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Benteng di kawasan kolam udang di Sungai Nipah, Simpang Lima, di sini, awal pagi semalam, disahkan positif Covid-19.

Pegawai Pemerintah Batilion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, wanita berusia 45 tahun itu disahkan positif ketika menjalani ujian saringan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

"Wanita terbabit yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan pada 3 pagi (semalam) kemudian dimasukkan ke HTAJ," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menahan wanita berkenaan bersama 26 Pati lain termasuk seorang kanak-kanak.

"Semua yang ditahan membabitkan 12 lelaki dan 12 wanita warga Indonesia serta dua lelaki warga Bangladesh yang berusia 21 hingga 45 tahun.

"Siasatan mendapati semua Pati memasuki negara ini melalui jalan tidak diwartakan (jalan laut) dengan menggunakan bot tongkang dan kemudian dilepaskan ke pesisir pantai tanpa dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Katanya, tangkapan dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1963.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 10:44 AM