MUHAMMAD Syukur memberi kerbaunya makan selepas semua ternakan itu dikuarantin selama 28 hari. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
MUHAMMAD Syukur memberi kerbaunya makan selepas semua ternakan itu dikuarantin selama 28 hari. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Baki 54 kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis atau 'Mowgli Malaysia' menunjukkan maklum balas positif terhadap suntikan antibiotik diberikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Abang Muhammad Syukur, Muhamad Alias, 30, berkata, setakat ini tiada kerbau yang mati, malah ternakan itu tidak menunjukkan tanda berpenyakit hawar berdarah (HS).

Katanya, mereka sangat bersyukur selepas kerbau terakhir yang mati pada Sabtu minggu lalu dengan jumlah keseluruhan ternakan yang mati adalah 56 ekor sejak 9 September.

"Inisiatif JPV Terengganu mencucuk antibiotik ke atas baki ternakan kami menunjukkan perubahan positif ke atas setiap ekor yang tinggal," katanya ketika ditemui di kandang kerbaunya, hari ini.

Menurutnya, mereka adik-beradik menguruskan kerbau seperti biasa bermula 6.30 pagi dan memberi makan seperti biasa.

Bagaimanapun kos makanan kerbau meningkat kepada RM500 sehari berikutan ia masih dalam tempoh kuarantin dan tidak dibenar lepas bebas.

Sementara itu, Muhammad Syukur, 15, berkata, dia sentiasa berdoa supaya semua baki ternakannya pulih daripada penyakit HS itu.

"Tiada kerbau yang mati sekarang dan ia memberi kelegaan. Kami dah lama bersedih dengan kematian ternakan sebelum ini dan berharap tidak menempuhnya lagi," katanya.

Kerbau milik keluarga itu perlu dikuarantin selama 28 hari bermula 15 September lalu bagi mengelakkan penularan penyakit HS dan pemantauan dilakukan setiap masa.

Sebelum ini, Pengarah JPV Terengganu Dr Mohd Termizi Ghazali dilapor berkata, pemberian antibiotik kepada ternakan yang masih hidup adalah jalan terakhir untuk menyelamatkan kerbau berkenaan.

Berita berkaitan

Jangan makan daging dijangkiti hawar berdarah

Tular tanpa kebenaran keluarga

Tongkol pula mati

'Saya lega dan terharu' - bapa 'Mowgli Malaysia'

9 lagi kerbau 'Mowgli Malaysia' mati pagi ini

'Hari paling sedih dalam hidup saya'

Kandang kerbau Syukur ditutup JPV

5 lagi kerbau Syukur mati [METROTV]

Peminat jumpa 'Mowgli Malaysia' beri sokongan moral

''Syukur kena sabar, ada hikmah tersembunyi' - Menteri Agama'

'Kerbau 'Mowgli' mati kerana hawar berdarah [METROTV]'

'30 kerbau 'Mowgli' mati mengejut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 11:54 AM