Ruwaida Md Zain


Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 berjaya menggagalkan percubaan sebuah kapal tongkang dari Myanmar membawa masuk kayu seberat 80,000 kilogram tanpa dokumen sah, Khamis lalu.

Pengarah Maqis Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, dalam operasi pada jam 5.40 petang itu, hasil permeriksaan mendapati sebuah kapal dagangan dari Myanmar membawa kayu yang disyaki tiada Sijil Fitosanitasi dari negara asal.

"Kesemua dagangan kayu seberat 80,000 kilogram itu bernilai RM95,356.38 termasuk kapal tongkang yang digunakan untuk membawa barangan terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan Polis Marin kemudian mengiringi kapal tongkang itu ke Jeti Asa Niaga Pelabuhan Klang Selatan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebuah kapal dagangan dari Myanmar membawa kayu (Sawn Timber) disyaki tiada Sijil Fitosanitasi dari negara asal ditahan. FOTO IHSAN MAQIS
Sebuah kapal dagangan dari Myanmar membawa kayu (Sawn Timber) disyaki tiada Sijil Fitosanitasi dari negara asal ditahan. FOTO IHSAN MAQIS

Tarmisal berkata, kesalahan yang dilakukan adalah tidak mematuhi syarat permit import yang ditetapkan oleh Maqis.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat permit adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 3:11 PM