Mayat mangsa yang ditemui terbaring dalam semak berhampiran Jalan Padang Kerbau, pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Mayat mangsa yang ditemui terbaring dalam semak berhampiran Jalan Padang Kerbau, pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Oleh Erika George

Miri: Seorang warga emas yang tidak pulang selepas keluar mencari sayuran hutan sejak tengah hari semalam ditemukan mati di dalam semak di Jalan Padang Kerbau di sini, pagi ini.

Mayat Razanee Tali, 72, ditemukan pasukan mencari terdiri daripada Unit Anjing Pengesan (K9) polis dan anggota bomba pada jam 11.10 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, sebelum kejadian mangsa memberitahu anaknya keluar mencari sayur-sayuran hutan di kawasan semak dan berpaya itu pagi semalam.

Katanya, ahli keluarga berkata kebiasaannya mangsa akan pulang ke rumah pada tengah hari, namun semalam lelaki itu tidak pulang.

"Justeru, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Miri oleh ahli keluarga mangsa pada jam 11.25 malam tadi," katanya.

Menurutnya, dua anggota bomba bergerak ke lokasi kejadian pada malam sama bagi menjalankan tinjauan sebelum meneruskan operasi mencari dan penyelamat (SAR) pada jam 6.15 awal pagi tadi.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 3:23 PM